Wednesday, April 1, 2009

ELOKLAH PERHATI BICARA LIDAH

Eloklah menilai diri sebelum memutar lidah takut-takut lidah yang diputar mengusutkan lagi kekalutan diri. Eloklah merenung bicara lidah takut-takut seperti mengata diri sendiri.

Kita berasa wajib menjaga hati kawan. Apabila bersama mereka kita akan berbual dengan rancak demi mungukuhkan ukhuwah dan persahabatan. Kita tidak berasa rugi membayar harga minuman yang dinikmati bersama.
Tetapi bersama isteri dan anak-anak kita berasa kelu untuk bercakap. Tidak ada isu-isu menarik untuk diperkatakan, tiada bahan jenaka untuk ketawa bersama-sama. Kita lebih banyak diam membisu daripada membina komunikasi mubar.

Kita berasa sudah terlambat apabila waktu mula bekerja pada jam 8.00 pagi tetapi kita sampai pada jam 8.05 pagi. Kita mungkin menyalahkan kesesakan lalu lintas yang terpaksa kita tempuhi. Besoknya kita akan bertolak lebih awal untuk memastikan kita tidak terlambat lagi.

Waktu zohor masuk pada jam 1.30 petang dan kita tiada apa-apa perkara mustahak hendak dilakukan pada waktu itu tetapi kita lebih selesa melambat-lambatkan solat sehingga jam 2.00 petang. Kita berasa masih belum terlambat dan tiada hutang apa-apa dengan tuan punya waktu.
Kita terharu melihat anak-anak kecil didera ibu bapa sendiri ataupun melihat bayi yang belum tahu apa-apa dibuang begitu sahaja. Hati kita tersentuh dan mengutuk orang yang melakukan kekejaman itu.
Tetapi kita tidak berasa apa-apa setelah membiarkan anak-anak gadis kita bebas mendedahkan aurat mereka sewaktu keluar rumah. Padahal mereka bakal menerima seksaan yang amat pedih, seolah-olah kita yang menyuakan diri mereka untuk dikenakan seksaan kelak. Kita juga seperti tidak kasihan kepada diri kita sendiri sebab semua tindak tanduk mereka yang salah, kita akan turut menerima bebannya di akhirat.
Banyak lagi keanehan yang kita lakukan dalam hidup kita yang singkat ini tetapi tidak menyedarinya dan merasakan tidak bersalah apa-apa. Andainya kita mahu merenung sejenak jejak-jejak yang telah kita lalui dan tinggalkan, kita akan dapati banyak daripada tindak-tanduk kita bertentangan sekali dengan prinsip hidup kita sendiri. Pada satu masa kita menentang sesuatu perkara itu habis-habisan tetapi pada masa yang sama kitalah penyokong besarnya.

Pernahkah kita memikirkan hal ini? Pada suatu masa kita mengutuk kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita tetapi kita tidak berbuat apa-apa untuk mencegahnya. Kita lebih seronok untuk memperkatakanya untuk mengatakan diri kita sempurna, sedangkan kerosakan yang berlaku itu terus mengambil tempatnya tanpa sesiapa mahu menanganinya.

Alangkah kalutnya hidup kita, pada suatu masa kita dilihat kain putih bersih tetapi pada waktu yang sama kita juga mempalitkan warna-warna hitam dalam jalan-jalan hidup kita.

Bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan betul, risiko orang yang mengetahui tetapi tidak melaksanakan lebih besar daripada orang yang tidak mengerti kerana belum mempelajarinya. Eloklah menilai diri sebelum memutar lidah, takut-takut lidah yang diputar rupanya untuk diri sendiri.

1 comment:

asrar said...

salam...

dats right...perhati bicaramu
selaraskan dengan amalanmu..
gunakan akalmu..
teguhkan imanmu...
moga kamu tergolong dalam golongan orang yang bertakwa...

terlajak perahu boleh diundur..terlajak kata badan binasa...

serendah rendah ilmu adalah apbila ia terbit dari lidah,manakala setinggi - tinggi ilmu ialah apa yang zahir dari anggota badan dan tindakan...saidina Ali r.a