Tuesday, March 31, 2009

DITANGISI ATAU DIDOAKAN PERGI

“Bergaulah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu.”

Jika adalah orang yang demikian itu, maka dia pastinya seorang yang sangat baik. Dia pastinya seorang yang sangat di senangi oleh semua orang. Sumbangannya tentu banyak dan dia pastinya berasa cukup dihargai.

Bagaimanapun, apabila manusia mula bergaul, dia sudah pasti tidak terlepas daripada memperolehi sesuatu yang buruk hasil daripada pergaulan itu. Dia mungkin mendapat semua kebaikan tetapi dia juga mungkin mendapat semua keburukannya. Risiko berada dalam dunia pergaulan akan menjelma dalam dua keadaan; baik atau buruk. Yang baik pun datangnya daripada pergaulan, yang buruk pun datangnya daripada pergaulan. Kadang-kadang pergaulan juga menyebabkan seseorang itu berada di tengah-tengah; baik tidak, jahat pun tidak. Kadang-kadang dia dilihat amat baik. Kadang-kadang dilihat amat jahat.

Dari mana datangnya keinginan mengumpat, memfitnah, mengadu domba, mencerca dan menghina kalau tidak melalui pergaulan? Namun, tidak dinafikan juga dari mana datangnya perasaan-perasaan lunak, mahabbah, kasih sayang, saling memberi, bertolak ansur dan sebagainya kalau tidak melalui pergaulan? Nyatalah, pergaulan akan menyebabkan manusia kecundang tetapi pergaulan juga boleh menyebabkan manusia membina keuntungan.

Apa juga risikonya, manusia tidak dapat lari daripada tidak bergaul sesama sendiri. Tanpa pergaulan, manusia akan mengalami tekanan mental, fizikal, kognitif dan perasaan. Pergaulan akan menyebabkan perkara-perkara ini terlampias keluar. Mental menjadi lebih lega apabila dapat berkomunikasi, fizikal bertambah sihat apabila digunakan untuk bersahsiah manakala kognitif dan perasaan juga akan terpantau dengan lebih baik.

Tetapi harus juga diingat, pergaulan boleh menyebabkan tekanan mental semakin dirasai, fizikal terdera, kognitif terbelah dan perasaan tidak keruan. Pergaulan juga boleh menyebabkan kedua-dua kumpulan perasaan ini saling bersimpang-siur; sekejap berasa hebat, sekajap berasa bosan; sekejap berasa ceria, sekejap berasa seperti tidak dipedulikan dan begitulah seterusnya.

Kadang-kadang sewaktu berasa tertekan, seseorang akan berkata kepada dirinya sendiri, “Kalaulah aku tak berkawan dengan dia, tentu hidup aku lebih tenteram. Sekarang tengok, betapa dahsyatnya dia telah memperlakukan aku.”

Itu menunjukkan kita perlu meletakkan satu garis panduan pergaulan yang sebenar. Dengan itu dapatlah kita segala kebaikan yang berkesudahan dengan keredhaan TUHAN dan dalam masa yang sama mendapat juga semua keperluan kehidupan untuk saling berinteraksi dan berkomunikasi untuk saling mengenali. Kita memang memerlukan peraturan agama dalam pergaulan.

Berbaloi sungguh hidup apabila sentiasa dirindui orang dengan kerinduan yang jujur. Apabila tiada sering disebut-sebut kebaikannya, sering diharap-harapkan kedatangannya malah sering didoakan kebahagiannya, berbanding dengan adanya menggugat ketenteraman orang, menyusahkan orang dan merugikan orang. Malang sungguh kalau kitalah orang yang dimaksudkan itu. Adanya kita tidak diharap, tiadanya kita menimbulkan sorak.

Sesungguhnya, tiadalah ertinya hidup kalau pergaulan kita tidak membuahkan rindu di hati manusia.

4 comments:

WhoSign said...

nak 2 2.. ditangisi dan didoakan selamat dalam pemergian..

selamat pergi dan selamat kembali..

aziee said...

insyALLAH... semua orang mesti harapakan cam tu gak kan...
semoga kita jadi insan terpilih.. :-)

asrar said...

salam..

tajuk menarik..
datangnya dirai..perginya ditangisi
atau
datangnya ditangisi,perginya dirai

pergaulan yang baik bermula dari hati yang tulus dan ikhlas...

sedia menerima baik buruk,sedia menegur,sedia menerima, dan sedia memahami ...

khas buat sahibahku yang disayangi jijah..." sesungguhnya aku tiada hadiah yang paling bermakna untukku beri di dalam persahabatan ini.Aku berpesan kepada diriku dan juga dirimu ..carilah redha Allah kerana itulah kemucak segalanya.kerana di situ juga terbitnya bait - bait cinta yang membuka pintu hati untuk meletakkan bahawa cukuplah bagiku engkau YA ALLAH,TIaDA DIHATIKU MELAINKANMU.moga Allah pertemukan kita bukan sekadar di dunia sahaja malah di akhirat nanti dengan kemenangan yang hakiki...insyaallah

...adakah aku dirindui...

aziee said...

"Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun di beranda bersamamu, tanpa mengucapkan sepatah katapun, dan kemudian kamu meninggalkannya dengan perasaan telah bercakap-cakap lama dengannya."