Thursday, April 9, 2009

UNTUK BERKATA SETUJU FIKIRKAN 10 KALI

Melainkan penyakit dan bencana alam, barangkali 90% masalah dunia berpunca daripada kegagalan manusia mematuhi perjanjiannya. Cuba fikirkan.

Daripada pelajar yang tidak menjaga perjanjiannya terhadap pelajaran, suami isteri yang tidak patuh pada perjanjian perkahwinan, ahli perniagaan yang melanggar piawaian dan etika perniagaan hinggalah kepada pemimpin politik yang tidak mahu berpegang pada janji kepimpinannya, sama ada kecil atau besar, semuanya menyumbang kepada masalah dunia.

Peperangan meletus, syarikat runtuh, perkahwinan berakhir dengan penceraian, persahabatan terbelah, semuanya bermula dan berpunca daripada perjanjian yang dimungkiri.

Berapa banyak yang kita janjikan dan berapa banyak yang kita mungkiri, akan menghasilkan berapa banyak masalah yang bakal kita hadapi. Disebabkan pada perjanjianlah letaknya kepercayaan, reputasi yang kita bina sekian tahun hanya dengan satu perjanjian yang kita mungkiri.

Walaupun perjanjian mungkin dilakukan secara lisan, sama ada bersaksi atau tanpa saksi, apalagi jika menuliskannya dan kemudian ditanda tangani, memungkirinya sentiasa berisiko, malah Islam meletakkan kedudukan janji pada si pendusta sebagai munafik.

Ingat, kehidupan anda dan semua orang yang hidup di sekeliling anda akan lebih baik sepanjang anda menjaga janji. Kualiti hidup bergantung kepada kualiti janji yang anda buat dan seteguh mana anda berpegang padanya.

Siapa anda, kenapa anda, bagaimana anda, di mana anda, dan apa anda, boleh ditentukan dengan perjanjian yang anda buat. Kekallah menjadi insan yang boleh dipercayai dengan meletakkan diri anda pada tujuh situasi berikut:

1) Serius dengan perjanjian
Apabila anda setuju untuk berbuat sesuatu, lakukan mengikut apa yang anda setujui untuk lakukan. Jika anda berjanji untuk bertemu dengan seseorang pada masa yang dipersetujui, pastikan anda berada di situ tepat pada masanya.

2) Berhati-hatilah dengan apa yang anda setujui
Jangan mudah bersetuju jika anda tidak yakin dapat berpegang padanya. Ramai orang berasa selesa untuk menjawab ya, berbanding tidak, tetapi adalah lebih baik anda berkata tidak daripada ya jika di hatinya, tidak. Membohongi diri anda dengan janji sedemikian, pada asalnya untuk menjaga hati seseorang, akhirnya akan memerangkap diri anda sendiri dalam pendustaan.

3) Pantau apa yang anda persetujui dan janjikan
Dalam seminggu kita mungkin memeterai berpuluh-puluh janji. Pastikan kita mempunyai cara tersendiri untuk memantau keadaan ini supaya kita tidak terlepas pandang, terlupa atau tidak berkeupayaan menepatinya. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janji, kerbau barangkali lebih baik pada dirinya.

4) Jelas, terang dan nyata
Kalau boleh setiap persetujuan dan perjanjian diturunkan ke atas kertas. Mungkin orang akan melihat anda sebagai terlalu berkira, tetapi kalu dilihat dari sudut Islam, Nabi Muhammad s.a.w juga menyarankan setiap perjanjian ditulis. Maka, melakukannya bererti mengikut sunnah dan berpahala.

5) Berhati-hati dengan siapa anda berurusan
Bidalan moden ada menyebut, “Tipu aku sekali, padan muka engkau si penipu, tipu aku dua kali, padan muka aku si tertipu.”

Kalau anda tidak berhati-hati ketika berurusan dengan si penipu yang memang sudah banyak menghasilkan rekod-rekod berjenama ‘TIPU’, ada kemungkinan anda akan menjadi mangsa yang seterusnya. Pastikan anda menuliskan kesemuanya ketika berurusan dengan orang semacam ini.

6) Berbincang bila anda tidak dapat berpegang pada janji
Apabila anda merasakan tidak dapat berpegang pada janji yang telah dipersetujui bersama, jangan biarkan diri anda terperangkap dalam kutukan manusia. Nyatakan dan berbincanglah untuk memperbaharui janji. Ia jauh lebih baik daripada anda memungkirinya kelak.

7) Fahami apa-apa yang tersembunyi
Sewaktu memberi persetujuan, lihat air muka orang yang diminta berjanji, apakah dia gembira untuk bersetuju atau wajahnya menampakkan kebimbangan. Cuba rungkai semua kebimbangannya dan anggaplah persetujuan telah dicapai apabila senyuman sudah terukir di wajahnya.

Anda akan dipatuhi jika memerintah, tapi tahukan anda apakah orang yang diperintah itu bersetuju untuk menjalankan perintah anda? Mungkin dia patuh tetapi dia mungkin melakukan kesalahan dan tidak ambil peduli dengan kecuaian yang mungkin di sengajakan. Mengapa ini terjadi? Disebabkan dia sekadar melakukan apa yang disuruh sedangkan hatinya tidak bersetuju. Berbuat sesuatu dengan penuh keterpaksaan hasilnya cenderung kepada kesalahan.

Dengan memberikan perhatian terhadap semua persetujuan serta perjanjian yang kita buat, memantaunya dan menjadikannya tabiat biasa kita, kita akan menjadi manusia penuh integrity. Usahakan!

No comments: