Tuesday, April 28, 2009

TELINGA YANG TAK MAHU MENDENGAR

Seribu perkataan cukup untuk memahamkan manusia, tapi 10 perkataan lebih cukup untuk telinga yang mahu mendengar dan otak yang mahu berfikir.

Prinsip mempelajari ilmu ialah biar belajar sedikit tapi faham banyak dan selalu ingat daripada belajar banyak tetapi faham sikit dan kerap lupa.

Tanpa kesediaan otak yang optimum kelupaan memang mudah terjadi. Seseorang yang duduk di hadapan guru dengan fikiran yang melayang jauh selalunya tidak akan belajar apa-apa pada akhir sesi, berbanding seseorang yang cukup bersedia, seminit baginya umpama sehari menghimpun ilmu.

Apalagi ilmu agama kerana ilmu agama memerlukan lebih kefahaman berbanding hafalan. Maka simpulkan kepentingan memahami ilmu agama itu melalui pesanan-pesanan berikut:

1) Bersyukur apabila mendapat nikmat, sabar mendepani kesulitan, tawakal sewaktu merangka program, ikhlas dalam segala amal perbuatan, jangan biarkan hati larut dalam kesedihan, tak usah menyesal atas sesuatu kegagalan.

2) Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan, jangan cemburu dengan kekayaan orang, jangan sombong setelah memperoleh kejayaan, usah tamak pada harta, jangan hancur kerana kezaliman.


3) Jangan goyah kerana fitnah, usah campuri harta dengan yang haram, jangan sakiti hati ibu dan ayah, jauhi diri daripada dosa-dosa besar, usah membiasakan diri dengan dosa-dosa kecil.

4) Banyak berkunjung ke rumah ALLAH, lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk, lakukan solat fardu pada awal waktu, perbanyakkan zikir dan doa kepada ALLAH, cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan, bersatulah kerana ALLAH dan berpisahlah kerana ALLAH, penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf kerana sesuatu sebab apabila tidak dapat ditepati.


5) Jangan mempunyai musuh kecuali iblis dan syaitan, hormati setiap orang, jangan terlampau takut pada manusia, jangan sombong, takabur dan besar kepala, berlakulah adil dalam segala urusan, hiasi rumah dengan bacaan al-Quran, perbanyakkan silaturrahim, tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam, hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu, biasakan hidup bersih, tertib dan teratur, jangan terlalu banyak berhutang, jangan terlampau mudah berjanji.


6) Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara, jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab, laksanakan segala tugas dengan penuh ikhlas dan sungguh-sungguh, sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan, jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan Negara, kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain dan jangan membuat orang lain menderita atau sengsara.

Hidup manusia akan sentiasa selamat selagi dia menjaga hak dirinya, hak orang lain terhadap kehidupannya, hak orang yang bergantung hidup terhadap dirinya, hak dirinya terhadap agama yang dianutinya, dan hak masyarakat juga Negara terhadap dirinya itu.

Namun, biarpun kelihatan mudah, ramai manusia gagal menjadikan hidup masing-masing berkualiti mengikut perspektif agama lantaran lebih senang berajakan keinginan-keinginan liar yang kurang didasarkan pada kehendak-kehendak ALLAH. Hanya orang yang memahami ilmu dengan hati yang bersih akan memperoleh petunjuk ALLAH sebagai bekalnya menghadapi hidup sebab seribu perkataan untuk memahamkan manusia, tapi 10 perkataan lebih cukup untuk telinga yang mahu mendengar dan otak yang mahu berfikir.

No comments: