Monday, June 15, 2009

KASIH SAYANG TANPA SYARAT

Isu-isu kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia boleh diselesaikan menerusi hubungan perasaan kasih-sayang. Walau apa cabaran hidup yang mendatang, kebahagiaan dan kedamaian boleh di kembalikan bila mana perasaan kasih sayang ini dapat di jelmakan semula. Nilai kasih sayang yang ALLAH campakkan ke dalam sanubari setiap insan perlu disuburkan agar nikmat kebahagiaan dapat di rasai oleh semua.

Persengketaan sesam insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang yang sangat tinggi nilainya. Persekitaran hidup yang sebelumnya indah, kini di penuhi dengan perasaan kebencian, dendam dan sebagainya. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semuanya terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanya rancangan-rancangan negative yang bakal menambah kelukaan jiwa ke tahap yang lebih parah.

Justeru itu, dalam mengharungi apa jua kemelut yang berlaku, hidup dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih dan sayang ini perlu di tingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi. Tahap yang di maksudkan ialah kasih dan sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.

Ada kalanya, dalam hidup ini perasaan kasih sayang masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi bila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus, kasih sayang tanpa syarat.

Bukankah kasih sayang ALLAH pada kita tanpa syarat? Dia menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Tuhan kepada kita, maka tentunya kering air laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian ALLAH. Demikianlah kasih sayangNYA pada kita.

Begitu juga seharusnya berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesam insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa.

Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah Nabi Ibrahim A.S. cinta Nabi Ibrahim A.S. kepada ALLAH tidak dapat digambarkan apabila dia sanggup mengorbankan Nabi Ismail A.S. apabila turun perintah dari ALLAH supaya beliau melakukannya sekalipun Nabi Ismail A.S. merupakan putera yang amat dikasihinya setelah sekian menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.

Inilah tanda kekhalifahan manusia yang ALLAH S.W.T tunjukkan pada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan dengan ALLAH S.W.T dan manusia lain.

Inilah bentuk kekuatan kasih sayang tanpa syarat yang dimaksudkan. Ikatan cinta dan kasih sayang yang kental menjadi sumber daya yang dapat meledakkan kejayaan dunia dan akhirat. Semarak api kasih dan sayang membolehkan individu melakukan kerja dan amal dengan penuh kejayaan.

Sesungguhnya cinta dan kasih sayang merupakan perasaan yang cukup murni sekiranya ianya dapat digembleng dengan kecerdasan spiritual. Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain untuk mendapat keredhaan ALLAH. Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari limpahan rahmat dan keredhaan ALLAH. Lantas mencari keredhaan ALLAH itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.

Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredhaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh kasih sayang. Biarlah ALLAH limpahi kasih sayangNYA ke dalam hati dan perasaan mereka lantas menjadi hamba-hamba ALLAH yang beriman dan bertaqwa.

Waimma cinta muda mudi, kalau diletakkan dalam erti kata yang murni, maka murnilah jadinya. Menerima cinta seseorang dengan harapan menggembleng kekuatan tenaga yang lahir dari semarak cinta menuju ke jalan ALLAH, maka cinta itulah yang mendorong ke arah pencarian ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, supaya cinta dan kasih sayang itulah yang melahirkan bakal individu professional yang mencintai diri, keluarga, Negara dan agamanya.


MENGURUS CINTA DAN KASIH SAYANG

Mengurus cinta dan kasih sayang samalah juga dalam kaedah pengurusan stress. Kita harus professional dalam mengurus perasaan marah, benci, tekanan dan ketegangan, maka kita juga sepatutnya lebih professional dalam mengurus perasaan cinta dan kasih sayang. Punca dari kesilapan mengurus perasaan inilah yang mengakibatkan kita terjebak dalam stress. Disinilah wujudnya kaedah dalam pengurusan stress.

Kalau kita boleh mengurus cinta dan kasih sayang, maka tidak timbul persoalan pengurusan stress. Akibat daripada hilangnya kebijaksanaan (wisdom) dalam pengurusan cinta terhadap individu kelompok dalam situasi kerjaya, maka kita membenci persekitaran kerjaya. Begitu juga akibat daripada kurangnya profesionalisme dalam pengurusan keluarga, maka berlaku pertelagahan rumah tangga, bertukarlah perasaan cinta menjadi api persengketaan yang membawa kepada penceraian.

Begitu juga halnya cinta kepada budaya ilmu yang tidak mendalam, maka alam pengajaran dan pembelajaran menjadi jumud, membosankan malah menjadi medan mewujudkan generasi yang rosak akhlak.
Sepatutnya, wahana persekolahan dan pusat pembelajaran menjadi tempat penjanaan tenaga cinta dan begitu kasih sayang yang begitu semarak, menerbitkan bibit-bibit cinta kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman. Apa yang di khuatiri, bukan sahaja pelajar menjadi bosan dan keliru mengapa mereka perlu berada disitu, malah tenaga pengajar dan guru memilih kerjaya guru sebagai pilihan terakhir. Maka hilanglah kekuatan tenaga dalaman yang menyebutkan guru sebagai murabbi (pendidik).
Dengan kata lain, apabila cinta dan kasih sayang sarat dengan syarat-syarat yang akhirnya meletakkan tenaga percintaan dan kasih sayang sebagai pusat mencetak masalah dan tekanan.

Sehubungan dengan itu, cinta dan kasih sayang sepatutnya dikembalikan pada tempatnya. Perasaan cinta dan kasih sayang menjadi fitrah semulajadi yang dapat menjana tenaga dalaman menuju kejayaan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah membesarkan lagi perasaan kesih sayang ini ke tahap yang lebih mulia iaitu kasih sayang tanpa syarat.

Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan, “tiga perkara, apabila ia ada pada diri seseorang, maka ia akan merasai kemanisan iman: hendaklan mencintai ALLAH dan Rasulullah melebihi yang selainnya, tidak mencintai seseorang melaikan cintanya itu kerana ALLAH dan ia benci kembali kepada kekufuran setelah ALLAH menyelamatkannya sepertimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Baginda juga bersabda, “ALLAH S.W.T berseru pada hari kiamat, Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kebesaran-Ku. Pada hari ini Aku akan melindungi mereka dengan perlindungan-Ku, pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan-Ku.”

Justeru itu, binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh. Sesugguhnya kasih sayang inilah yang membahagiakan diri dan orang lain sekitarnya. Nantinya kasih sayang ALLAH tiada apa-apa syarat itu bakal sentiasa memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredhaiNYA..

sumber: -R ‘ESQ: majalah wanita, 12-18 Jun 2009-

No comments: