Monday, April 6, 2009

Kau, Kawan, Sahabat & Teman...

Khas buat sahabat-sahabat, teman-teman seperjuangan...

Ketika mula bertemu
Terasa bagai telah lama bersua
Kau sambut hulur tanganku
Bertegur sapa penuh mesra

Masa terus berlalu
Dan kita tetap seiringan berjalan
Menempuh onak liku
Lalui semua suka dan duka bersama

Biarlah apapun rahsia
Dan kelemahanmu tetap engkau temanku

Riangnya saat kita ketawa
Asyik senda dan bercerita
Walau sesekali pandangan kita berbeza
Andainya tetap serupa

Adakalanya kita juga saling terluka
Namun di akhirnya kita tetap bersama

Dan kini dipisahkan dua benua
Saling mengejar cita
Tak pernah kulupakan
Detik yang indah bersamamu temanku

Kupasti suatu masa
Engkau dan aku kan bertemu semula
Kembali menjalinkan detik nan indah
Untuk kenangan bersama

Friday, April 3, 2009

KEKUATAN MANUSIA PADA AL-QURAN




Alhamdulillah.. pagi tadi majlis khatam al-Quran kuliah PISMP 3.01 dan 3.02 berjalan dengan lancar dan selesai dengan jayanya.. Objektif sebenar majlis tersebut hanyalah untuk melaksanakan sebahagian dari kerja kursus pendek yang diberikan. Itu hanya pandangan mata kasar, namun disebaliknya banyak yang saya belajar khususnya dalam mengelolakan majlis seumpama itu.. Belajar melalui pengalaman, huhu.. Petang tu dok belek-belek salah satu buku koleksi motivasi karangan motivator yang saya kagumi Dr.Tuah, terjumpe la artikel tentang kelebihan al-Quran ni.. Mungkin boleh di kongsi dan bermanfaat kepada semua pembaca blog ini khususnya..

KEKUATAN MANUSIA PADA AL-QURAN

Kekurangan kita ialah banyak membaca al-Quran tanpa mengetahui maknanya. Kelemahan kita ialah mengetahui maknanya tetapi tidak mengetahui tafsirannya. Kelemahan kita yang bertimpa-timpa ialah mengetahui tafsirannya tetapi tidak mengetahui rahsianya. Kelemahan kita yang tertinggi ialah mengetahui rahsianya tetapi tidak mempercayainya. Kelemahan kita yang lebih tinggi ialah tidak mempercayai lalu meninggalkannya.

Dr. Tarig al-Swaidan, dalam penelitiannya mendapati beberapa perkara yang disebut dalam al-Quran mempunyai persamaan dengan satu benda lain yang juga dalam keseluruhan dalam al-quran. Umpamanya perkataan lelaki sebanyak 24 kali disebut dalam surah-surah tertentu dan sebanyak 24 kali juga perkataan wanita muncul dalam keseluruhan al-Quran.

** Sangat cantik dah ketentuan ALLAH tu, manusia dijadikan berpasang-pasangan, kalo lelaki di sebut 24 kali dan perempuan juga di sebut 24 kali, dah elok dah tu, lelaki kahwin satu dah la kan.. ahaks..

Seterusnya dalam penelitian beliau, perkaran-perkara lain juga didapati berjumlah yang sama. Beliau mengatakan perkataan ‘Dunia’ disebut sebanyak 115 kali dan ‘Akhirat’ juga 115 kali. Perkataan ‘Malaikat’ 88 kali manakala ‘Syaitan’ juga 88 kali. ‘Hidup’ 145 kali manakala ‘Mati’ 145 kali. ‘Zakat’ 32 kali, ‘Barakah’ juga 32 kali, ‘Berfikir’ 49, ‘Nur’ juga 49 kali dan ‘Penderitaan’ 114 kali, ‘Kesabaran’ juga 114 kali.

Apakah ini kebetulan?

Dan lebih menakjubkan perkataan solat muncul sebanyak lima kali, hari bulan sebanyak 12 kali dan hari sebanyak 365 kali. Penemuan ini telah disebarkan melalui internet secara meluas untuk dikongsi manfaatnya oleh seluruh manusia, tanpa mengira pegangan agama mereka.

Sememangnya, otak beku akan tetap menolak, tapi akal yang sihat akan mengatakan, tidak mungkin ia satu kebetulan bahkan satu perancangan jitu yang menjadikan alam ini sebegini rupa, sebegitu tepat dan sebegitu hebat. Akal yang tajam akan mengakui kewujudan ALLAH yang Maha Berkuasa menetapkan semuanya itu. Tidak mungkin Rasulullah s.a.w melakukan sendiri tanpa bimbingan penuh atau wahyu yang diturunkan.

Sememangnya semua perkara berada dalam perancangan dan pengetahuan ALLAH semata-mata. DIA menurunkannya kepada manusia-manusia pilihan-NYA?
Rahsia al-Quran keseluruhannya sudah tentu hanya ada di sisi ALLAH, namun manusia perlu terus berusaha memahami rahsia-rahsia ini setakat yang terdaya, kerana nilai iman dapat ditingkatkan jika rahsia dapat diungkai terus, selari dengan bertambahnya usia manusia yang menghuni alam ini. Bukan sahaja nilai iman mereka yang sudah beragama Islam, malah mereka yang ingkar selama ini tidak mustahil menerima nur hidayah.

ALLAH berfirman, “Wahai manusia, sungguhnya telah datang kepada mu bukti kebenaran dari ALLAH-mu (Nabi Muhammad dan mukjizatnya); dan KAMI telah menurunkan kepadamu satu cahaya (al-Quran) yang terang benderang.” (Surah An-Nisaa, 174)


Pada suatu masa Rasulullah s.a.w ditanya, “Apakah Nur itu?”

Baginda menjawab, “Apabila nur itu memasuki hati maka lega dan lapanglah hati itu.”

Kemudian ditanya lagi, “Bagaimanakah tandanya?”

Sabda baginda, “Hati itu tidak lupakan perkembaliannya ke Darul Khuld (negeri Akhirat). Dia tidaklah bermasyghul (berleka-leka) dengan keduniaan kerana dunia ini adalah tempat perayaan (dan percubaan). Hati itu selalu mengingati kematian sebelum tibanya kematian itu.”

Abdullah Mas’ud berkata, “Ilmu itu diperolehi bukanlah semata-mata banyak riwayat (sumber biasa), tetapi dia hanya diperoleh dengan nur yang dicampakkan ALLAH dalam hati seseorang.”

Sudah tentu untuk mendapat nur itu, hati perlu didekatkan selalu kepada ALLAH dan al-Quran adalah penghubungnya.

Subhanallah… sungguh menakjubkan!! Pernahkah kita berfikir sebelum ini?? Alhamdulillah sehingga hari ini saya masih di beri kesempatan dan kemampuan untuk membaca, belajar dan mengkaji al-Quran serta di beri kekuatan untuk cuba mengamalkan ajarannya.. masih terngiang-ngiang di telinga saya sebelum melangkah kaki untuk merantau mencari ilmu di bumi IPIS ini, mak cik saya pesan.. “Jangan tinggalkan al-Quran, sentiasalah berdampingan dengan al-Quran saat susah mahupun senang, saat gembira mahupun berduka.. Bacalah kalam ALLAH yang indah itu setiap hari sekurang-kurangnya satu muka setiap hari…” semoga ALLAH memelihara iman kita dan dipermudahkan segala urusan di jalanNYA.. insyALLAH..

p/s: ** ulasan sendiri..

Wednesday, April 1, 2009

ELOKLAH PERHATI BICARA LIDAH

Eloklah menilai diri sebelum memutar lidah takut-takut lidah yang diputar mengusutkan lagi kekalutan diri. Eloklah merenung bicara lidah takut-takut seperti mengata diri sendiri.

Kita berasa wajib menjaga hati kawan. Apabila bersama mereka kita akan berbual dengan rancak demi mungukuhkan ukhuwah dan persahabatan. Kita tidak berasa rugi membayar harga minuman yang dinikmati bersama.
Tetapi bersama isteri dan anak-anak kita berasa kelu untuk bercakap. Tidak ada isu-isu menarik untuk diperkatakan, tiada bahan jenaka untuk ketawa bersama-sama. Kita lebih banyak diam membisu daripada membina komunikasi mubar.

Kita berasa sudah terlambat apabila waktu mula bekerja pada jam 8.00 pagi tetapi kita sampai pada jam 8.05 pagi. Kita mungkin menyalahkan kesesakan lalu lintas yang terpaksa kita tempuhi. Besoknya kita akan bertolak lebih awal untuk memastikan kita tidak terlambat lagi.

Waktu zohor masuk pada jam 1.30 petang dan kita tiada apa-apa perkara mustahak hendak dilakukan pada waktu itu tetapi kita lebih selesa melambat-lambatkan solat sehingga jam 2.00 petang. Kita berasa masih belum terlambat dan tiada hutang apa-apa dengan tuan punya waktu.
Kita terharu melihat anak-anak kecil didera ibu bapa sendiri ataupun melihat bayi yang belum tahu apa-apa dibuang begitu sahaja. Hati kita tersentuh dan mengutuk orang yang melakukan kekejaman itu.
Tetapi kita tidak berasa apa-apa setelah membiarkan anak-anak gadis kita bebas mendedahkan aurat mereka sewaktu keluar rumah. Padahal mereka bakal menerima seksaan yang amat pedih, seolah-olah kita yang menyuakan diri mereka untuk dikenakan seksaan kelak. Kita juga seperti tidak kasihan kepada diri kita sendiri sebab semua tindak tanduk mereka yang salah, kita akan turut menerima bebannya di akhirat.
Banyak lagi keanehan yang kita lakukan dalam hidup kita yang singkat ini tetapi tidak menyedarinya dan merasakan tidak bersalah apa-apa. Andainya kita mahu merenung sejenak jejak-jejak yang telah kita lalui dan tinggalkan, kita akan dapati banyak daripada tindak-tanduk kita bertentangan sekali dengan prinsip hidup kita sendiri. Pada satu masa kita menentang sesuatu perkara itu habis-habisan tetapi pada masa yang sama kitalah penyokong besarnya.

Pernahkah kita memikirkan hal ini? Pada suatu masa kita mengutuk kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita tetapi kita tidak berbuat apa-apa untuk mencegahnya. Kita lebih seronok untuk memperkatakanya untuk mengatakan diri kita sempurna, sedangkan kerosakan yang berlaku itu terus mengambil tempatnya tanpa sesiapa mahu menanganinya.

Alangkah kalutnya hidup kita, pada suatu masa kita dilihat kain putih bersih tetapi pada waktu yang sama kita juga mempalitkan warna-warna hitam dalam jalan-jalan hidup kita.

Bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan betul, risiko orang yang mengetahui tetapi tidak melaksanakan lebih besar daripada orang yang tidak mengerti kerana belum mempelajarinya. Eloklah menilai diri sebelum memutar lidah, takut-takut lidah yang diputar rupanya untuk diri sendiri.

Tuesday, March 31, 2009

DITANGISI ATAU DIDOAKAN PERGI

“Bergaulah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu.”

Jika adalah orang yang demikian itu, maka dia pastinya seorang yang sangat baik. Dia pastinya seorang yang sangat di senangi oleh semua orang. Sumbangannya tentu banyak dan dia pastinya berasa cukup dihargai.

Bagaimanapun, apabila manusia mula bergaul, dia sudah pasti tidak terlepas daripada memperolehi sesuatu yang buruk hasil daripada pergaulan itu. Dia mungkin mendapat semua kebaikan tetapi dia juga mungkin mendapat semua keburukannya. Risiko berada dalam dunia pergaulan akan menjelma dalam dua keadaan; baik atau buruk. Yang baik pun datangnya daripada pergaulan, yang buruk pun datangnya daripada pergaulan. Kadang-kadang pergaulan juga menyebabkan seseorang itu berada di tengah-tengah; baik tidak, jahat pun tidak. Kadang-kadang dia dilihat amat baik. Kadang-kadang dilihat amat jahat.

Dari mana datangnya keinginan mengumpat, memfitnah, mengadu domba, mencerca dan menghina kalau tidak melalui pergaulan? Namun, tidak dinafikan juga dari mana datangnya perasaan-perasaan lunak, mahabbah, kasih sayang, saling memberi, bertolak ansur dan sebagainya kalau tidak melalui pergaulan? Nyatalah, pergaulan akan menyebabkan manusia kecundang tetapi pergaulan juga boleh menyebabkan manusia membina keuntungan.

Apa juga risikonya, manusia tidak dapat lari daripada tidak bergaul sesama sendiri. Tanpa pergaulan, manusia akan mengalami tekanan mental, fizikal, kognitif dan perasaan. Pergaulan akan menyebabkan perkara-perkara ini terlampias keluar. Mental menjadi lebih lega apabila dapat berkomunikasi, fizikal bertambah sihat apabila digunakan untuk bersahsiah manakala kognitif dan perasaan juga akan terpantau dengan lebih baik.

Tetapi harus juga diingat, pergaulan boleh menyebabkan tekanan mental semakin dirasai, fizikal terdera, kognitif terbelah dan perasaan tidak keruan. Pergaulan juga boleh menyebabkan kedua-dua kumpulan perasaan ini saling bersimpang-siur; sekejap berasa hebat, sekajap berasa bosan; sekejap berasa ceria, sekejap berasa seperti tidak dipedulikan dan begitulah seterusnya.

Kadang-kadang sewaktu berasa tertekan, seseorang akan berkata kepada dirinya sendiri, “Kalaulah aku tak berkawan dengan dia, tentu hidup aku lebih tenteram. Sekarang tengok, betapa dahsyatnya dia telah memperlakukan aku.”

Itu menunjukkan kita perlu meletakkan satu garis panduan pergaulan yang sebenar. Dengan itu dapatlah kita segala kebaikan yang berkesudahan dengan keredhaan TUHAN dan dalam masa yang sama mendapat juga semua keperluan kehidupan untuk saling berinteraksi dan berkomunikasi untuk saling mengenali. Kita memang memerlukan peraturan agama dalam pergaulan.

Berbaloi sungguh hidup apabila sentiasa dirindui orang dengan kerinduan yang jujur. Apabila tiada sering disebut-sebut kebaikannya, sering diharap-harapkan kedatangannya malah sering didoakan kebahagiannya, berbanding dengan adanya menggugat ketenteraman orang, menyusahkan orang dan merugikan orang. Malang sungguh kalau kitalah orang yang dimaksudkan itu. Adanya kita tidak diharap, tiadanya kita menimbulkan sorak.

Sesungguhnya, tiadalah ertinya hidup kalau pergaulan kita tidak membuahkan rindu di hati manusia.

Tuesday, March 24, 2009

TIDUR SEBENTAR UNTUK LEBIH AKTIF

KES 1

Hari masih merangkak menuju tengah hari tetapi Aminah sudah berasa cukup letih dan mengantuk sekali. Berkali-kali dia menguap lebar sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya seraya mengeluarkan bunyi, “Uwaaaa……”

Tidak tahan dengan rasa mengantuk yang teramat sangat itu, Aminah meninggalkan dewan kuliah untuk mengambil udara segar di luar. Dia cuba juga membasuh mukanya dengan air sejuk. Buat seketika Aminah berasa cergas sedikit, tetapi apabila dia kembali semula ke dewan kuliah, rasa mengantuknya berulang kembali.

Aminah cuba menahan sedaya mungkin, matanya celik tapi fikirannya kabur. Apabila selesai kuliah, Aminah dapati dia tidak belajar apa-apa pun pada hari itu.



KES 2

Syahid dapati dirinya bersemangat sekali sewaktu dia meninggalkan rumah untuk bekerja. Di pejabat semangatnya tidak pudar walaupun pelbagai masalah yang terpaksa dihadapinya. Tetapi ketika hampir tengah hari, atau kira-kira jam 11.30 pagi rasa mengantuk dan malasnya tiba-tiba datang.

Syahid cuba mengalihkan perhatiannya kepada hal-hal yang tidak membebankan. Dia cuba membaca akhbar tetapi sebaik sahaja akhbar itu selsesai dibacanya, rasa mengantuknya datang lagi. Prestasi Syahid merosot sekali pada hari itu.



KES 3

Setelah menguruskan apa-apa yang patut, Mira duduk dengan malas di kerusi rehat rumahnya. Dia melihat jam, ada kira-kira tiga jam lagi sebelum anak-anaknya pulang. Tiba-tiba dia merasa mengantuk sekali. Rasanya ingin sekali melelapkan mata barang seminit dua tapi khuatir menjadi tabiat.

……………………………………………………………………………………..

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengah hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w ada melakukannya.”

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat Zohor.”

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengah hari. Ia dinaggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap bertujuan untuk menyegarkan tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengah hari, didapati amat berkesan untuk memperitngkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti. (Napping news: ‘Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker’s Productivity, ‘from eFuse).

Waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu ini. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a mid afternoon quiescent phase’ atau ‘a secondary sleep gate.’ Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengah hari ini ialah Dr.William A. Anthony, ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at work.’

Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’ Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur tengah hari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengah hari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)

Sunnah tidur tengah hari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi releven pada hari ini.

Thursday, March 19, 2009

MILIK SIAPA PENGHASILAN KITA

“Kalau kamu berbuat baik, sebetulnya kamu berbuat baik untuk dirimu. Dan jika kamu berbuat jahat, bererti kamu telah berbuat jahat atas dirimu pula.”

Hakikatnya bukan semua yang kita miliki itu kepunyaan kita, bukan semua yang kita usahakan itu untuk kita nikmati hasilnya, bukan semua yang masuk ke mulut itu sampai ke perut kita. Selagi belum melepasi halkum ia belum lagi menajdi rezeki kita.

Suatu hari, Rasulullah s.a.w meghantar jenazah seorang sahabat sampai ke kubur. Apabila baginda kembali, beliau singgah sebentar untuk menghibur dan menenangkan keluarga almarhum supaya tetap bersabar dan tawakal menerima musibah itu.

Kemudian Rasulullah s.a.w berkata, “Tidakkah almarhum mengucapkan wasiat sebelum wafatnya?”
Si balu menjawab, “Aku mendengar dia mengatakan sesuatu di antara dengkur nafasnya yang tersengal-sengal menjelang ajal.”
“Apa yang dikatakannya?”
“Aku tak tahu, ya Rasulullah, apakah ucapannya itu sekadar rintihan sebelum mati, ataukah pekikan pedih kerana dahsyatnya sakaratul maut. Cuma, ucapannya memang payah di fahami lantaran merupakan kalimat yang terpotong-potong.”
“Bagaimana bunyinya?” desak Rasulullah s.a.w.
“Dia mengatakan, andai kata lebih panjang lagi, andai kata yang masih baru, andai kata semuanya…., hanya itulah yang tertangkap sehingga bingung kami dibuatnya.”
Rasulullah s.a.w tersenyum.
“Sungguh yang diucapkan oleh suami mu itu tidak keliru. Suatu hari dia sedang bergegas ke masjid untuk melaksanakan Solat Jumaat. Di tengah jalan, dia berjumpa dengan orang buta yang bertujuan sama. Si buta itu tersaruk-saruk kerana tidak ada yang memimpin. Maka suami mu yang mendampinginya hingga sampai di masjid. Tatkala hendak menghembuskan nafas penghabisan, dia menyaksikan pahala amal solehnya itu, lalu dia berkata, “Andaikan lebih panjang lagi.” Maksudnya, andai kata jalan ke masjid itu lebih panjang lagi, pasti pahalanya lebih besar pula.”
“Ucapan lainnya ya Rasulullah?” Tanya sang isteri mulai tertarik.
Rasulullah s.a.w menjawab, “Adapun ucapannya yang kedua dikatakannya, ketika dia melihat hasil perbuatannya yang lain. Sebab pada hari berikutnya, waktu dia pergi ke masjid pagi-pagi, sedangkan cuaca dingin sekali, di terpi jalan dia melihat seorang lelaki tua yang tengah duduk menggigil, hampir mati kedinginan. Kebetulan suami mu membawa sebuah mantel baru, selain yang dipakainya. Maka dia mengambil mantelnya yang lama, diberikannya kepada lelaki itu. Dan mantelnya yang baru lalu dikenakannya. Menjelang saat-saat akhirnya, suami mu melihat balasan amal kebajikannya itu sehingga dia pun menyesal dan berkata, “Cuba andaikan yang ku berikan kepadanya bukan mantel ku yang lama, pasti pahala ku jauh lebih besar lagi.” Itulah yang dikatakan oleh suami mu selengkapnya.”
“Kemudian, ucapannya yang ketiga, apa maksudnya, ya Rasulullah?” Tanya sang isteri semakin ingin tahu.
Rasulullah s.a.w menjelaskan, “Ingatkah kamu pada suatu ketika suami mu datang dalam keadaan sangat lapar dan meminta disediakan makanan? Engkau menghidangkan sepotong roti yang telah dicampur dengan daging. Namun, tatkala hendak dimakannya, tiba-tiba seorang musafir mengetuk pintu dan meminta makanan. Suami mu lantas membahagi rotinya menjadi dua potong, yang sebelah diberikan kepada musafir itu. Dengan demikian, pada waktu suami mu akan nazak, dia menyaksikan betapa besarnya pahala dari amalannya itu. Kerananya, dia pun menyesal dan berkata, “Kalau aku tahu begini hasilnya, musafir itu tidak ku beri separuh. Sebab andai kata semuanya kuberikan kepadanya, sudah pasti ganjaran ku akan berlipat ganda.”
Memang begitulah keadilan ALLAH. Pada hakikatnya, apabila kita berbuat baik, sebetulnya kita juga yang beruntung, bukan orang lain.