Tuesday, March 31, 2009

DITANGISI ATAU DIDOAKAN PERGI

“Bergaulah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu.”

Jika adalah orang yang demikian itu, maka dia pastinya seorang yang sangat baik. Dia pastinya seorang yang sangat di senangi oleh semua orang. Sumbangannya tentu banyak dan dia pastinya berasa cukup dihargai.

Bagaimanapun, apabila manusia mula bergaul, dia sudah pasti tidak terlepas daripada memperolehi sesuatu yang buruk hasil daripada pergaulan itu. Dia mungkin mendapat semua kebaikan tetapi dia juga mungkin mendapat semua keburukannya. Risiko berada dalam dunia pergaulan akan menjelma dalam dua keadaan; baik atau buruk. Yang baik pun datangnya daripada pergaulan, yang buruk pun datangnya daripada pergaulan. Kadang-kadang pergaulan juga menyebabkan seseorang itu berada di tengah-tengah; baik tidak, jahat pun tidak. Kadang-kadang dia dilihat amat baik. Kadang-kadang dilihat amat jahat.

Dari mana datangnya keinginan mengumpat, memfitnah, mengadu domba, mencerca dan menghina kalau tidak melalui pergaulan? Namun, tidak dinafikan juga dari mana datangnya perasaan-perasaan lunak, mahabbah, kasih sayang, saling memberi, bertolak ansur dan sebagainya kalau tidak melalui pergaulan? Nyatalah, pergaulan akan menyebabkan manusia kecundang tetapi pergaulan juga boleh menyebabkan manusia membina keuntungan.

Apa juga risikonya, manusia tidak dapat lari daripada tidak bergaul sesama sendiri. Tanpa pergaulan, manusia akan mengalami tekanan mental, fizikal, kognitif dan perasaan. Pergaulan akan menyebabkan perkara-perkara ini terlampias keluar. Mental menjadi lebih lega apabila dapat berkomunikasi, fizikal bertambah sihat apabila digunakan untuk bersahsiah manakala kognitif dan perasaan juga akan terpantau dengan lebih baik.

Tetapi harus juga diingat, pergaulan boleh menyebabkan tekanan mental semakin dirasai, fizikal terdera, kognitif terbelah dan perasaan tidak keruan. Pergaulan juga boleh menyebabkan kedua-dua kumpulan perasaan ini saling bersimpang-siur; sekejap berasa hebat, sekajap berasa bosan; sekejap berasa ceria, sekejap berasa seperti tidak dipedulikan dan begitulah seterusnya.

Kadang-kadang sewaktu berasa tertekan, seseorang akan berkata kepada dirinya sendiri, “Kalaulah aku tak berkawan dengan dia, tentu hidup aku lebih tenteram. Sekarang tengok, betapa dahsyatnya dia telah memperlakukan aku.”

Itu menunjukkan kita perlu meletakkan satu garis panduan pergaulan yang sebenar. Dengan itu dapatlah kita segala kebaikan yang berkesudahan dengan keredhaan TUHAN dan dalam masa yang sama mendapat juga semua keperluan kehidupan untuk saling berinteraksi dan berkomunikasi untuk saling mengenali. Kita memang memerlukan peraturan agama dalam pergaulan.

Berbaloi sungguh hidup apabila sentiasa dirindui orang dengan kerinduan yang jujur. Apabila tiada sering disebut-sebut kebaikannya, sering diharap-harapkan kedatangannya malah sering didoakan kebahagiannya, berbanding dengan adanya menggugat ketenteraman orang, menyusahkan orang dan merugikan orang. Malang sungguh kalau kitalah orang yang dimaksudkan itu. Adanya kita tidak diharap, tiadanya kita menimbulkan sorak.

Sesungguhnya, tiadalah ertinya hidup kalau pergaulan kita tidak membuahkan rindu di hati manusia.

Tuesday, March 24, 2009

TIDUR SEBENTAR UNTUK LEBIH AKTIF

KES 1

Hari masih merangkak menuju tengah hari tetapi Aminah sudah berasa cukup letih dan mengantuk sekali. Berkali-kali dia menguap lebar sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya seraya mengeluarkan bunyi, “Uwaaaa……”

Tidak tahan dengan rasa mengantuk yang teramat sangat itu, Aminah meninggalkan dewan kuliah untuk mengambil udara segar di luar. Dia cuba juga membasuh mukanya dengan air sejuk. Buat seketika Aminah berasa cergas sedikit, tetapi apabila dia kembali semula ke dewan kuliah, rasa mengantuknya berulang kembali.

Aminah cuba menahan sedaya mungkin, matanya celik tapi fikirannya kabur. Apabila selesai kuliah, Aminah dapati dia tidak belajar apa-apa pun pada hari itu.



KES 2

Syahid dapati dirinya bersemangat sekali sewaktu dia meninggalkan rumah untuk bekerja. Di pejabat semangatnya tidak pudar walaupun pelbagai masalah yang terpaksa dihadapinya. Tetapi ketika hampir tengah hari, atau kira-kira jam 11.30 pagi rasa mengantuk dan malasnya tiba-tiba datang.

Syahid cuba mengalihkan perhatiannya kepada hal-hal yang tidak membebankan. Dia cuba membaca akhbar tetapi sebaik sahaja akhbar itu selsesai dibacanya, rasa mengantuknya datang lagi. Prestasi Syahid merosot sekali pada hari itu.



KES 3

Setelah menguruskan apa-apa yang patut, Mira duduk dengan malas di kerusi rehat rumahnya. Dia melihat jam, ada kira-kira tiga jam lagi sebelum anak-anaknya pulang. Tiba-tiba dia merasa mengantuk sekali. Rasanya ingin sekali melelapkan mata barang seminit dua tapi khuatir menjadi tabiat.

……………………………………………………………………………………..

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengah hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w ada melakukannya.”

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat Zohor.”

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengah hari. Ia dinaggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap bertujuan untuk menyegarkan tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengah hari, didapati amat berkesan untuk memperitngkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti. (Napping news: ‘Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker’s Productivity, ‘from eFuse).

Waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu ini. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a mid afternoon quiescent phase’ atau ‘a secondary sleep gate.’ Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengah hari ini ialah Dr.William A. Anthony, ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at work.’

Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’ Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur tengah hari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengah hari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)

Sunnah tidur tengah hari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi releven pada hari ini.

Thursday, March 19, 2009

MILIK SIAPA PENGHASILAN KITA

“Kalau kamu berbuat baik, sebetulnya kamu berbuat baik untuk dirimu. Dan jika kamu berbuat jahat, bererti kamu telah berbuat jahat atas dirimu pula.”

Hakikatnya bukan semua yang kita miliki itu kepunyaan kita, bukan semua yang kita usahakan itu untuk kita nikmati hasilnya, bukan semua yang masuk ke mulut itu sampai ke perut kita. Selagi belum melepasi halkum ia belum lagi menajdi rezeki kita.

Suatu hari, Rasulullah s.a.w meghantar jenazah seorang sahabat sampai ke kubur. Apabila baginda kembali, beliau singgah sebentar untuk menghibur dan menenangkan keluarga almarhum supaya tetap bersabar dan tawakal menerima musibah itu.

Kemudian Rasulullah s.a.w berkata, “Tidakkah almarhum mengucapkan wasiat sebelum wafatnya?”
Si balu menjawab, “Aku mendengar dia mengatakan sesuatu di antara dengkur nafasnya yang tersengal-sengal menjelang ajal.”
“Apa yang dikatakannya?”
“Aku tak tahu, ya Rasulullah, apakah ucapannya itu sekadar rintihan sebelum mati, ataukah pekikan pedih kerana dahsyatnya sakaratul maut. Cuma, ucapannya memang payah di fahami lantaran merupakan kalimat yang terpotong-potong.”
“Bagaimana bunyinya?” desak Rasulullah s.a.w.
“Dia mengatakan, andai kata lebih panjang lagi, andai kata yang masih baru, andai kata semuanya…., hanya itulah yang tertangkap sehingga bingung kami dibuatnya.”
Rasulullah s.a.w tersenyum.
“Sungguh yang diucapkan oleh suami mu itu tidak keliru. Suatu hari dia sedang bergegas ke masjid untuk melaksanakan Solat Jumaat. Di tengah jalan, dia berjumpa dengan orang buta yang bertujuan sama. Si buta itu tersaruk-saruk kerana tidak ada yang memimpin. Maka suami mu yang mendampinginya hingga sampai di masjid. Tatkala hendak menghembuskan nafas penghabisan, dia menyaksikan pahala amal solehnya itu, lalu dia berkata, “Andaikan lebih panjang lagi.” Maksudnya, andai kata jalan ke masjid itu lebih panjang lagi, pasti pahalanya lebih besar pula.”
“Ucapan lainnya ya Rasulullah?” Tanya sang isteri mulai tertarik.
Rasulullah s.a.w menjawab, “Adapun ucapannya yang kedua dikatakannya, ketika dia melihat hasil perbuatannya yang lain. Sebab pada hari berikutnya, waktu dia pergi ke masjid pagi-pagi, sedangkan cuaca dingin sekali, di terpi jalan dia melihat seorang lelaki tua yang tengah duduk menggigil, hampir mati kedinginan. Kebetulan suami mu membawa sebuah mantel baru, selain yang dipakainya. Maka dia mengambil mantelnya yang lama, diberikannya kepada lelaki itu. Dan mantelnya yang baru lalu dikenakannya. Menjelang saat-saat akhirnya, suami mu melihat balasan amal kebajikannya itu sehingga dia pun menyesal dan berkata, “Cuba andaikan yang ku berikan kepadanya bukan mantel ku yang lama, pasti pahala ku jauh lebih besar lagi.” Itulah yang dikatakan oleh suami mu selengkapnya.”
“Kemudian, ucapannya yang ketiga, apa maksudnya, ya Rasulullah?” Tanya sang isteri semakin ingin tahu.
Rasulullah s.a.w menjelaskan, “Ingatkah kamu pada suatu ketika suami mu datang dalam keadaan sangat lapar dan meminta disediakan makanan? Engkau menghidangkan sepotong roti yang telah dicampur dengan daging. Namun, tatkala hendak dimakannya, tiba-tiba seorang musafir mengetuk pintu dan meminta makanan. Suami mu lantas membahagi rotinya menjadi dua potong, yang sebelah diberikan kepada musafir itu. Dengan demikian, pada waktu suami mu akan nazak, dia menyaksikan betapa besarnya pahala dari amalannya itu. Kerananya, dia pun menyesal dan berkata, “Kalau aku tahu begini hasilnya, musafir itu tidak ku beri separuh. Sebab andai kata semuanya kuberikan kepadanya, sudah pasti ganjaran ku akan berlipat ganda.”
Memang begitulah keadilan ALLAH. Pada hakikatnya, apabila kita berbuat baik, sebetulnya kita juga yang beruntung, bukan orang lain.

Wednesday, March 18, 2009

10 CARA MEMBINA MOTIVASI DIRI

Tiba-tiba anda berasa tidak bermaya sekali. Hidup terasa tiada erti. Nyata anda telah kehilangan motivasi diri. Apa yang harus anda lakukan?
Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, “Hai, engkau dijadikan bukan untuk menjadi lemah.”
Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1. Perbaiki imej anda
Cuba lakukan sedikit perubahan. Kalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang di pakai selama seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dengan pelbagaikan warnanya.
Kalau selama ini jarang mengenakan tali leher, kenakan tali leher, tukar gaya menyikat rambut dan sangkutkan pen berjenama mahal di poket. Ubah gaya jalan anda, sesuai dengan attire baru yang anda kenakan.
Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas, elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda dengan solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada pakaian anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri.
Jangan terlalu pendiam tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat dan diam ketika orang bercakap hal-hal sensitif seperti politik dan lain-lan.

2. Lakukan senaman ringan
Tubuh yang lemah, lembik dan lembam boleh dipulihkan dengan melakukan sedikit gerakan tubuh. Tidak perlu melakukan senaman-senaman berat kerana itu akan menyebabkan tubuh anda letih. Keletihan akan menyebabkan anda kembali tidak bermaya. Malah mengikut kajian, bukan semua orang sesuai melakukan senaman berat, sesetengah orang, atas sebab-sebab kesihatan dan fizikal semulajadinya lebih digalakkan supaya tidak bersenam dengan berat.
Senamkan juga minda anda dengan membaca atau mencuba sesuatu yang berhalangan. Bermain computer game mungkin salah satu caranya tetapi untuk lebih santai, senamkan minda dengan membaca, merenung, mempersepsi dan membuat ta’akulan.

3. Senyum
Senyuman boleh mengubah segala-galanya. Dalam mood yang tidak baik, memang agak sukar melakukan ini, tapi ingat jika anda senyum pulangannya serupa. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda mungkin mendapat senyumannya balik. Jika anda memasamkan muka, orang lain juga akan memasamkan muka mereka terhadap anda.
Sifir kehidupan ini mudah, anda berbuat baik kepada orang lain, anda akan dibalas kebaikan yang sama atau mungkin yang lebih baik. Jika anda berbuat jahat kepada orang lain, anda akan mendapat balasan yang serupa atau lebih teruk. Dosa dibalas dengan Neraka, kebaikan dibalas dengan Syurga. Tidakkan itu adil??

4. Berfikiran positif
Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan.
Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan cerah dan insyALLAH rezeki pun akan meluas.
Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.
Berfikiran positif bakal melahirkan idea-idea positif. Idea-idea positif akan melahirkan tindakan-tindakan yang positif. Tindakan-tindakan yang positif selalunya membuahkan kejayaan dan kecemerlangan.

5. Dapatkan tidur yang mencukupi
Runsing, marah-marah mahupun pengur kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Berehatlah seenaknya dan jika perlu, tidur.
Kita memang memerlukan tidur yang berkualiti untuk mendapatkan kesegaran tubuh yang betul. Kalau telur ayam pun boleh digredkan mengikut kualitinya, dengan demikianlah hal-hal yang berkaitan dengan manusia, termasuklah tidur. Tidur-tidur ayam adalah tidur yang tidak berkualiti dan menyebabkan minda terdera serta tidak mendapat rehat yang secukupnya.
Tidur yang tidak berkualiti akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.

6. Luahkan pada seseorang
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan ketika dalam suasana-suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat. Sahabat adalah seorang yang amat memahami anda dan sedia menjadi sahabat biar dalam keadaan apa sekalipun.
Seorang kawan boleh meninggalkan anda dalam keadaan demikian tetapi tidak jika dia bernama sahabat. Seorang sahabat adalah seseorang yang sudi berkongsi masalah anda serta sentiasa berdiri di sisi anda dengan nasihat-nasihatnya yang bak mutiara itu. Pilihlah sahabat yang baik, berbudi dan beriman kerana ciri-ciri yang ada pada dirinya itu adalah cermin keperibadian anda juga.
Adakah anda sahabat yang di cari?? Sudahkah anda menemui seorang sahabat yang setia??

7. Curahkan di atas kertas
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudia bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega??
Adalah lebih baik juga jika anda mempunyai diari rahsia yang boleh mendengar dan menjadi tempat untuk anda meluahkan perasaan. Tidak kira sama ada perasaan gembira atau sedih. Diari adalah sahabat yang sangat jujur dan setia. Rahsia antara anda dengan ‘dia’ sahaja.

8. Bersedia untuk berubah
Jangan teraga-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak?? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan tertentu.
Bulatkan hati, kuatkan tekad dan oraklah langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Tanpa berkalau-kalau lagi. Lakukan perubahan dengan sepenuh hati dan lihatlah hasilnya nanti.
Kejayaan selalunya berkait rapat dengan kesungguhan. Kesungguhan pula bermula daripada hati yang bulat dan tekad yang padu. Semuanya ini hanya akan menjadi jika anda benar-benar ada kesediaan untuk melakukan perubahan. Semuanya saling berkait-kait dan bertimbal-balik.

9. Cari kegemaran baru
Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Dalam perkataan lain, setiap kegemaran kita ada jangka hayatnya. Kalau dulu sewaktu kecil kita sangat suka bermain bola sepak, sekarang tidak lagi. Mungkin sewaktu di universiti kita cukup gemar berpersatuan, sekarang tidak lagi. Mungkin juga sewaktu remaja kita galak bercinta sekarang nurani itu sudah tiada lagi, berganti dengan matlamat membina kecemerlangan keluarga.
Semuanya dalam hidup kita ada jangka hayatnya yang tersendiri. Begitu juga dengan usia kita. Apabila sampai pada penghujung hayat, kita akan meninggalkan alam ini.
Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong, carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat apakah minat anda boleh tumbuh di sini. Begitu juga tidak salah memelihara akan hiasan untuk melihat apakah hobi baru ini boleh memberi kesenangan kepada anda.

10. Bertegaslah
Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya. Apabila anda mengatakan pada diri sendiri untuk kembali ceria, bertegaslah untuk terus berkata begitu walaupun kadangkala perasaan anda seperti dibuai-buai untuk mengatakan anda sedang bad mood sekarang.
Bertegas pada diri bukan ertinya anda tidak boleh memanjakan diri sendiri. Sekali-sekala layanlah diri anda sendiri sebagaimana anda melayani tetamu. Pergi makan-makan di tempat mewah dan berikan hadiah pada diri sendiri. Itu pun salah satu cara menghargai diri sendiri.
Jika anda sendiri tidak selesa untuk menghormati diri anda, apakah wajar anda mengharap demikian daripada orang lain??

HIDUPKAN SEL OTAK KANAN

Penyelidikan saintis mendapati otak kiri bertugas dalam mengingati ilmu, data dan fakta; menggunakan fikiran logic, bahasa, matematik, menganalisis, berfikir mengikut urutan dan lain-lain kegiatan yang berbentuk akademik.

Otak kanan pula melibatkan imaginasi, khayalan, berfikir secara kreatif, irama, emosi, ilham, intuisi, gerak hati, warna, muzik, berfikir secara keseluruhan dan lain-lain aktiviti yang seumpama dengannya.

Sebagaimana tangan harus digunakan kedua-duanya untuk mendapat gerak-laku yang terbaik, demikian juga otak. Kita diberikan dua telinga untuk menyeimbangkan pendengaran, diberi dua mata untuk lebih fokus, diberikan dua kaki untuk lebih pantas, kita juga diberikan dua otak untuk lebih berfungsi sebagai insane yang stabil, pintar dan seimbang.

Bagaimanapun, otak kanan yang kuat menjadi kurang bermakna jika memiliki otak kiri yang lemah. Jadi, kita perlu meningkatkan fungsi otak kanan tanpa mengabaikan otak kiri.

Bagaimanakah otak kanan boleh dikuatkan? Dalam perkataan lain, bagaimanakah sel-sel otak kanan boleh dihidupkan? Ada banyak cara dan disarankan supaya kita banyak melakukan aktiviti yang menggabungkan potensi penglihatan, gerak geri jari, bahasa tubuh dan juga pendengaran.

1. Hayatilah kisah sejarah. Mengapa sejarah? Sejarah membebaskan minda kita mereka gambaran-gambaran silam mengikut pengetahuan yang tersimpan olehnya. Membina gambaran ini datangnya dari otak kanan.

2. Bebaskan kejumudan anda dengan mengambil tahu hal-hal semasa dan sekeliling.

3. Memberikan saranan kendiri ataupun bermonolog.

4. Banyakkan mencuba sesuatu yang berhalangan seperti ekspedisi, mengembara, bermain computer game dan aktiviti-aktiviti lasak.

5. Sertai seminar, forum, pameran, ekspo dan cari peluang agar suara anda di dengar.
6. Menatap, merenung dan membaca al-Quran.

7. Cuba berfikir secara kreatif, analitis ataupun lateral.

8. Sering melakukan latihan pendengaran, penglihatan, pergerakan, penghiduan dan merasa secara imaginasi.

9. Bertafakur dan berfikir tentang makhluk ALLAH dan alam semesta.

10. Bermain catur atau sesuatu yang mencabar minda.

11. Suka berfikir dengan bertanya kepada diri sendiri dengan menggunakan kata kunci Asibidibam-apa, siapa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa.

Sunday, March 1, 2009

DI SAAT HAMPIR DATE LINE…..

Bagaimanakah perasaan anda hari ini?? Adakah anda rasa marah?? Gembira?? Murung?? Kecewa?? Takut?? Bersalah?? Tersinggung?? Hormat?? Bertanggungjawab?? Bolehkah anda mengenalpasti dengan tepat apa yang anda rasa?? Bolehkah anda cari perkataan-perkataan lain untuk mencerminkan apa yang anda rasa?? Kini manusai telah cipta lebih daripada 2000 perkataan untuk menerangkan jenis-jenis perasaan yang dialaminya. Kefahaman tentang tiap-tiap perkataan mengenai perasaan iaitu emosi manusia penting untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain.

CARA MENGURUS KEMARAHAN

1) Memahami apa yang mencetusnya serta manfaat jangka pendeknya

Kita perlu memahami dan mengenalpasti pencetus-pencetus yang boleh jadikan kita hilang akal seperti kata-kata tertentu orang, tabiat orang, tidak bertoleransi dan sebagainya. Manfaat atau kebaikan yang boleh didapati daripada pelepasan kemarahan kita ialah mungkin seperti berikut:
a) Saya rasa lega
b) Orang mendengar saya
c) Rasa seperti diri sebenar lepas marah
d) Jika tidak marah saya akan menangis sahaja
e) Melaui kemarahan orang tahu pendirian mereka
f) Kemarahan menghilangkan perasaan takut
g) Jika saya tak marah orang akan fikir saya lemah

Manfaat-manfaat kemarahan ini adalah jangka pendek sahaja. Sebenarnya ia boleh dicapai melalui cara lain yang lebih asertif. Melepaskan kemarahan membawa berkat yang sementara sahaja. Pada jangka panjang ia akan menjejaskan perhubungan kita.

2) Belajar menenangkan diri dalam situasi genting

Bila perasaan marah timbul kita boleh
a) Gantinya dengan aktiviti lain seperti memandang pada benda dan bukan orang, memikir tentang apa yang kita lakukan pada hari ini atau menerangkan suasana bilik kepada diri sendiri atau membilang sampai 10.
b) Mengelakkan melalui meninggalkan tempat itu atau minta diri untuk berfikir
c) Menukarkan ritma otak seperti mendengar muzik atau lakukan senaman
d) Guna teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas selama 5 saat
e) Kecut dan regangkan otot selama 5 saat
g) Urut bahagian dada dan perut
h) Ubah cara duduk dan regangkan bahu
i) Berimaginasi tentang pemandangan yang tenang atau yang neutral atau ketawa pada diri sendiri kerana situasi itu

3) Belajar cara atau strategi untuk mengelak kemarahan kelak

a) Mengenalpasti samada kemarahan kita itu sihat atau tak sihat iaitu membina atau destruktif
b) Elak daripada menggunakan dadah atau alcohol untuk melupakan sesuatu
c) Baca dan menambahkan ilmu tentang pengurusan kemarahan
d) Bincang dengan orang lain yang berjaya menguruskan kemarahan mereka
e) Ubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan kurang stress
f) Sentiasa menahan dan mencabar setiap pemikiran yang membawa kemarahan
g) Sedari tentang kemarahan yang tersembunyi dalam sindiran atau peril
h) Belajar menjadi lebih asertif atau hadiri kursus untuk menambah kemahiran asertif
i) Meneliti segala punca kemarahan dari dahulu
j) Berbincang dengan kaunselor atau pakar psikologi
k) Menghadiri kursus mengurus kemarahan

Mengikut pakar psikologi marah adalah emosi sekunder. Di belakang emosi marah ini terdapat emosi primer seperti keresahan, duka, hampa, kehilangan, takut dan sebagainya yang terbit kerana sesuatu keperluan tidak diselesai atau dicapai. Sebenarnya kemarahan ini menjejaskan peluang kita untuk mencapai sesuatu keperluan itu. Bila kita dapat mengenalpasti keperluan-keperluan ini kita dapat berusaha untuk mencapainya dan dengan itu kemarahan dapat dikawal atau diurus dengan sihat.

Emosi marah adalah satu fenomena rasional yang berlaku di otak kiri kita. Untuk mengurusnya kita perlu menggunakan kedua-dua bahagian otak, khasnya otak kanan dan bahagian lain otak berkenaan dengan emosi untuk mengecam dan sedar bila perasaan marah muncul. Dengan demikian kita dapat menangani kemarahan dengan cepat dan mengekalkan ketenangan kita.

“Angry people are those who are most afraid……”
-Robert Anthony-

“Orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya…..”
-Imam AL Ghazali-

CIRI-CIRI ORANG YANG BERKECERDASAN EMOSI TINGGI

1) Melabelkan perasaannya dan bukan perasaan orang lain atau situasi yang dihadapi

2) Dapat membezakan pemikiran dengan perasaan

3) Bertanggungjawab atas perasaan sendiri

4) Gunakan perasaannya untuk membantu membuat keputusan

5) Menghormati perasaan orang lain

6) Dapat berasa bertenaga dan bukan dikawal oleh kemarahan

7) Mengesahkan perasaan orang lain dengan menunjukkan empati, pertimbangan dan penerimaan perasaan orang lain

8) Berlatih untuk mendapatkan nilai positif daripada emosi negatif

9) Tidak mengarah, mengkritik, mengadili atau mengherdik orang lain

10) Tidak menghiraukan orang yang tidak menerima atau menghormati perasaannya